“William Mencekak Kolar Baju.. Jatuhkan Saya Ke Lantai” Petikan Memoir Putera Harry Amat Mengejutkan

Share

Konflik adik-beradik diraja Britain di antara Putera William dan Putera Harry bukan lagi satu perkhabaran yang mengejutkan.

Sejak Harry dan isterinya yang juga merupakan seorang bekas pelakon, Meghan Markle dilucutkan jawatan sebagai ‘working royal members’ selepas mereka sendiri mengundurkan diri daripada institusi diraja popular itu, hubungan pasangan tersebut dengan keluarga diraja sudah tidak lagi seperti dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Putera Harry & Meghan Markle Dilucutkan Jawatan DiRaja. Tidak Lagi Menjadi ‘Working Royal’ – REMAJA

BACA LAGI: Sebelum Meghan Markle, Angela Gisela Brown Merupakan Wanita Kulit Hitam Terlebih Dahulu Jadi Kerabat Bergelar Di Eropah – REMAJA

Kemunculan siri dokumentari Harry & Meghan sebanyak enam episod di platform penstriman Netflix langsung tidak menjernihkan keadaan.

Menerusi siri yang diterbitkan oleh Harry dan Meghan sendiri, niat mereka untuk menceritakan ‘situasi sebenar’ mengenai punca pengunduran daripada institusi diraja seakan dibayangi dengan bombshells yang mereka sendiri dedahkan.

Antaranya termasuklah bagaimana William dikatakan menjerit ke arah Harry dan bagaimana abangnya itu membocorkan rahsia perbualan sesama ahli keluarga diraja kepada pihak media agar Harry dan Meghan menjadi mangsa kecaman.

Memoir Putera Harry Curah Minyak Ke Api

Terbaru, Putera Harry kembali menjadi topik perbualan media tabloid Barat menjelang pelancaran memoirnya berjudul Spare pada Selesa, 10 Januari 2023.

Salinan memoir yang telah ‘dibaca’ lebih awal oleh The Guardian antaranya mengandungi petikan lanjut mengenai perbalahan antara William dan Harry.

Salah satu insiden berlaku di kediaman Harry di London pada 2019 di mana isterinya, Meghan dikatakan menjadi punca kepada pertengkaran dua orang putera hasil perkahwinan Raja Charles dan mendiang Lady Diana itu.

“William mencekak kolar baju dan merenggut rantai saya serta menjatuhkan saya ke lantai hingga menyebabkan mangkuk untuk mengisi makanan anjing pecah.”

“Saya terbaring seketika dalam keadaan terpinga-pinga di atas serpihak mangkuk tersebut dan ia turut melukakan belakang tubuh saya.

“Saya kemudiannya segera bangun dan menyuruhnya keluar. Kejadian itu berlaku terlalu pantas,” petik The Guardian.

Insiden ini lantas membuka semula pekung di antara William dan Harry dalam kalangan rakyat Britain serta warganet seluruh dunia. Istana Kensington bagaimanapun enggan mengulas mengenai pergaduhan tersebut.

Dalam pada itu, Harry juga dipercayai tidak akan berangkat ke United Kingdom

bagi menghadiri upacara pertabalan ayahnya Raja Charles sebagai Raja baharu pada bulan Mei kelak selagi keluarganya itu enggan duduk berbincang bersamanya (dan besar kemungkinan turut disertai Meghan Markle).

BACA LAGI: Raja Charles Dan Permaisuri Camilla Dilempar Telur Ketika Sedang Menyantuni Rakyat Jelata – REMAJA

Sumber: BBC

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ