Skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara mencipta sejarah apabila mara ke final edisi sulung Piala Dunia Hoki 5s 2024 di Muscat, Oman.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemain Hoki Wanita Digantung Akibat Ciapan Berbaur Perkauman, Sedar Ada Batas Bermedia Sosial
Kejayaan itu hadir selepas skuad bimbingan Wallace Tan melakar kemenangan 4-3 ke atas Poland pada separuh akhir yang penuh mendebarkan di Stadium Hoki Oman, awal pagi tadi.
Malaysia akan bertemu Belanda bagi penentuan gelaran juara pada jam 12.20 tengah malam ini.
Kapten skuad negara, Akhimullah Anuar Esook bagaimanapun mengingatkan rakan sepasukannya supaya kekal fokus bagi pertemuan dengan Belanda dalam misi mereka mencipta sejarah baharu menjuarai kejohanan edisi kali pertama itu.
“Syukur Alhamdulillah dengan kejayaan ini. Kami berkorban banyak perkara sejak dari mula kejohanan ketika seri 3-3 dengan Oman sebelum kami bangkit mencatat kemenangan demi kemenangan.
“Kami perlu fokus kerana masih ada satu perlawanan terakhir untuk kami terus mencipta sejarah baharu. Sebagai rakyat Malaysia, kami perlu berjuang memberikan yang terbaik buat negara.
“Belanda memiliki pemain yang hebat dan merupakan negara nombor satu dunia ketika ini. Namun, kami perlu fokus dan berikan aksi terbaik buat negara hingga hujung perlawanan,” katanya yang meledak dua gol dalam perlawanan bertemu Poland.
Pada aksi bertemu Poland, Malaysia terlebih dahulu di depan menerusi pukulan penalti yang disempurnakan Arif Syafie Ishak seawal minit ketujuh sebelum lawan menyamakan kedudukan menerusi gol padang Damian Jarzembowski dua minit kemudian.
Skuad negara bagaimanapun kembali garang apabila meledak tiga gol menerusi gol padang yang disudahkan Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-19 dan Akhimullah menyumbang dua gol pada minit ke-22 dan 24.
Poland cuba bangkit apabila berjaya menjaringkan dua gol padang menerusi Wojciech Rutkowski minit ke-27 dan Jakub Holosyniuk minit ke-30 bagaimanapun ia masih belum cukup untuk menyekat kemaraan Malaysia ke final.