7 tahun selepas perkahwinan diraja Britain antara Putera William dan Kate Middleton, hari ini satu lagi pasangan diraja telah selamat disatukan.
Putera Harry telahpun memilih bekas pelakon dan selebriti, Meghan Markle untuk menjadi isteri beliau yang sah. Dalam majlis yang berlangsung di St. George’s Chapel at Windsor Castle itu, ia telah disaksikan oleh kerabat diraja Britain termasuklah Queen Elizabeth, Putera Phillip, Putera Charles, Camilla Duchess of Cornwall, Putera William dan Kate Middleton.
Selain daripada mereka, turut berada di situ adalah selebriti yang dijemput dan pastinya, fesyen yang disarung oleh mereka menjadi perhatian ramai. Bukan saja pada busana tetapi termasuklah aksesori kepala atau fascinators yang dipakai juga menjadi tarikan perkahwinan diraja.
Sudah tentu, kita perlu bercakap tentang gaun perkahwinan Meghan yang direka khas oleh Givenchy. Tampil ringkas dengan siluet tradisional Givenchy iaitu boat neckline, Meghan tidak memerlukan rekaan yang terlalu gah kerana kecantikan wajahnya saja sudah menyerlah.
Bagaimanapun, Meghan memilih veil yang cukup panjang. Ia mempunyai makna tersendiri terhadapa 53 buah negara Komanwel. Beliau meminta perekanya untuk menggunakan 53 jenis bunga dari negara-negara tersebut untuk dijahit khas pada veil tersebut. Agaknya, mesti ada Bunga raya di situ.
Sebagai duta khas Komanwel (Putera Harry) dan rakyat yang pernah menetap di Kanada (Meghan), persatuan Komanwel mempunyai makna yang cukup mendalam kepada mereka. Malah selepas ini, Harry dan Meghan dipercayai akan menjadi duta utama persatuan itu ke negara terbabit.
Tiara yang dipakai oleh Meghan pula merupakan pinjaman Queen Elizabeth, iaitu Queen Mary Bandeau Tiara yang jarang dipakai oleh sesiapa.
Oprah merupakan salah seorang selebriti terawal yang hadir pada hari ini. Memakai persalinan blush dari topi sehinggalah ke kasut tumit tingginya, Oprah kelihatan cukup manis terutamanya dengan perincian lace pada bahagian kelim bawah dan leher.
Satu perkara yang menarik mengenai gaun perkahwinan Meghan Markle adalah tiada siapa yang mengetahui perekanya sebelum Meghan muncul daripada kenderaan rasmi Rolls Royce. Antara nama pereka yang disebut-sebut termasuklah Alexander McQueen, Stella McCartney dan Erdem.
Apa kaitannya pereka tersebut dengan Amal Clooney? Ketika Amal muncul pada hari ini, dia memilih Stella McCartney untuk mereka dress khasnya dan secara automatik, nama Stella tidak lagi berada di dalam senarai. Ini kerana pereka gaun perkahwinan diraja TIDAK BOLEH mereka mana-mana pakaian jemputan lain. Gitu.
Rakan karib Meghan Markle, Serena Williams juga memilih warna yang sama seperti Oprah iaitu Blush. Apa yang membezakan mereka berdua adalah rantai vitaj bvlgari yang dipakai Serena.
Seperti dijangka, David dan Victoria Beckham telah dijemput ke perkahwinan ini setelah mereka terlebih dahulu dijemput ke perkahwinan Putera William dan Kate Middleton. Menariknya pada kedua-dua acara ini, Victoria memilih untuk memakai rekaan jenamanya sendiri, Victoria Beckham dan juga memilih warna biru tua yang sama!