Wuduk Dengan Tisu Basah, Adakah Sah Wuduk Yang Diambil?

Share

Kegunaan tisu basah boleh memudahkan kerja harian kita, yelah ia praktis dan mudah dibawa kemana pun.

Tapi, walaupun ia praktikal boleh ke kita menggunakan tuala basah atau wet wipes pada waktu tertentu untuk berwuduk.

ARTIKEL BERKAITAN : Bolehkah Seseorang Yang Mandi Hadas Besar Mengerjakan Solat Tanpa Ambil Wuduk?

Berikut merupakan penjelasan dari Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri tentang sah atau tidak wudhu yang diambil hanya menggunakan tuala basah sahaja. Semoga bermanfaat!

SAH ATAU TIDAK BERWUDUK GUNA TISU BASAH (WET WIPES)?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Baru-baru ini saya ada melihat satu video di Youtube yang mengajar untuk berwuduk dengan menggunakan tisu basah (wet wipe) ketika menunaikan umrah? Soalan saya, adakah sah wuduk dengan cara tersebut? Mohon percerahan. Terima kasih.

Foto Via The Star

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.[1]

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib.[3]

DEFINISI TISU BASAH (WET WIPE)

Tisu basah (wet wipe) ialah sehelai kain kecil atau kertas basah yang hanya digunakan sekali untuk membersihkan sesuatu, biasanya dijual dalam satu bungkusan.[4] Tisu basah yang digunakan untuk bayi dan orang dewasa adalah berbeza dari segi bahan buatannya, namun kedua-duanya tetap mengandungi bahan-bahan lain selain air seperti alkohol, detergen yang bercampur dengan agen pelembap, pewangi dan pengawet.[5]

HUKUM BERWUDUK DENGAN TISU BASAH (WET WIPE)

Wuduk merupakan medium syarak yang terpenting untuk menghilangkan (mengangkat) hadas kecil daripada anggota badan bagi menjadikan seorang Muslim itu suci, lalu membolehkannya melaksanakan segala perbuatan atau amalan yang disyaratkan padanya suci daripada hadas — seperti mendirikan solat, memegang mashaf al-Quran, tawaf dan lain-lain.[6]

Wuduk ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu berserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan.[7] Seseorang itu dikira sah wuduknya, bilamana telah memenuhi semua rukun-rukun dan syarat-syarat sah wuduk.

Oleh demikian, berbalik kepada soalan yang ditanyakan, berwuduk dengan menggunakan tisu basah adalah tidak sah kerana ia tidak memenuhi dua syarat sah wuduk, iaitu:

Pertamanya, air atau kandungan yang terdapat di dalam tisu basah bukan lagi air mutlak kerana ia telah bercampur dengan bahan-bahan lain. Sedangkan di antara syarat sah wuduk ialah menggunakan air yang suci lagi menyucikan — iaitu air mutlak — kerana hadas tidak akan terangkat melainkan dengan hanya air mutlak.[8] Dalam bahasa mudahnya, air mutlak ialah air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT.[9]

Keduanya, di antara syarat sah wuduk juga ialah mengalirkan air pada anggota wuduk yang dibasuh[10] dan tidak cukup dengan hanya sekadar menyapu air pada anggota tersebut tanpa mengalirkannya kerana ia tidak dinamakan sebagai basuhan.[11] Justeru, sepertimana yang kita ketahui, tisu basah hanya sekadar basah atau lembap, jika ia diperah sekalipun tidak dapat menitiskan air apatah lagi mengalirkannya.

Kesimpulannya, berwuduk dengan tisu basah (wet wipe) adalah tidak sah kerana ia tidak dapat memenuhi syarat-syarat sah wuduk iaitu menggunakan air mutlak dan mengalirkan air pada anggota wuduk yang dibasuh.

Begitu juga kerana sifat tisu basah (wet wipe) ini berbeza dengan sifat air (cecair). Justeru pendapat yang lebih selamat dan ihtiyat, tidak diharuskan penggunaan tisu basah sebagai gantian daripada air. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Moga bermanfaat kepada semua.

BACA LAGI : Tak Perlu Mandi Lama-Lama, Cara Mudah & Ringkas Mandi WAJIB Yang Betul

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: Maktabah Al-Bakri

Published by
Nana