Ramai kalangan wanita gemar mengenakan alat solek di wajah untuk tampil lebih yakin bila berada di luar. Ada ketika solekan agak tebal dan pasti sukar dibersihkan tambah jika waktu sudah di akhir.
Pasti ramai yang ingin tahu jika masih ada kesan bedak dan alat solek di muka, adakah wuduk itu sah? Perkongsian dari Ustaz Azhar Idrus ialah hukum mengenai wuduk tanpa tinggalkan bedak.
Jika seorang perempuan memakai bedak mengambil wuduk tanpa menanggalkan dulu bedaknya itu adakah sah wuduk yang dia ambil?
Jawapan :
Diantara syarat sah wuduk ialah tiada pada kulit anggota wuduk itu suatu yang menghalang dari sampai air basuhan wuduk atasnya.
Oleh kerana itu jika bedak yang ada pada muka menghalang air wuduk sampai ke kulit ketika membasuh nescaya wuduknya tidak sah. Dan seperti bedak itu ialah gincu dan seumpamanya.
Tersebut pada Kitab Fathul Mu’in :
ورابعها: أن لا يكون على العضو حائل بين الماء والمغسول
Artinya : “Dan yang keempatnya dari syarat sah wuduk ialah tidak ada atas anggota wuduk penghalang antara air dan yang dibasuh.”
Berkata Imam Nawawi :
.إذا كان على بعض أعضائه شمع أو عجين أو حناء وأشباه ذلك فمنع وصول الماء إلى شيئ من العضو لم تصح طهارته سواء أ كثر ذلك أم قل ولو بقي على اليد و غيرها أثر الحناء و لونه دون عينه أو أثر دهن مائع بحيث يمس الماء بشرة العضو و يجري عليها لكن لا يثبت صحت طهارته.
Artinya : “Apabila adalah di atas sebahagian anggotanya minyak atau debu atau hinai dan yang menyerupai yang demikian itu lalu ia menghalang sampai air kepada suatu dari anggota wuduk nescaya tidak sah bersucinya samada banyak yang demikian itu atau sedikit. Dan jika tinggal atas tangan atau lainnya kesan hinai dan warnanya yang bukan ainnya atau kesan minyak dengan sekira-kira kena air akan kulit anggota dan berjalan air atasnya akan tetapi tidak tetap ia nescaya sah bersucinya.” (Kitab Al-Majmu’)
Kesimpulan:
Hendaklah menanggalkan sekelian yang ada di atas muka daripada bedak dan seumpamanya sebelum mengambil wuduk maka jika diambilnya wuduk tanpa menanggalknnya terlebih dulu dan air tidak sampai kepada kulit anggota yang wajib dibasuh nescaya tidak sah wuduknya itu.
Jika tidak ditanggalkannya terlebih dulu tetapi air basuhan wuduk sampai kepada kulit kerana sedikitnya atau nipisnya nescaya sah wuduknya.
Begitu juga jika dia tidak menanggalkan bedak pada muka terlebih dulu dan terus mengambil wuduk maka jika ketika membasuh muka itu air yang pertama menanggalkan bedak tersebut dan air yang seterusnya kena kepada kulit muka maka hukumnya adalah sah.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus