Sumber Foto: Pexels.

 

Penggunaan ayat atau perkataan yang kurang sopan dan tidak berhemah kini semakin berleluasa dan menjadi perbualan santai dalam kalangan remaja.

Mereka tidak lekang menggunakan perkataan “bodoh” dan melemparkan kata-kata kurang sopan antara satu sama lain, seolah-olah penggunaan bahasa kesat bukan lagi perkara luar biasa atau dianggap memalukan walaupun diucapkan dalam khalayak terbuka.

Remaja mungkin beranggapan bahawa penggunaan kata-kata seperti itu dalam kalangan rakan sebaya merupakan simbol kemesraan sesama mereka yang hanya boleh diterima dalam kalangan mereka tanpa mempedulikan tanggapan dan perasaan orang lain yang berada di sekitarnya.

Lebih banyak perkataan kesat disebut, lebih ramai rakan yang akan memberikan tindak balas. Keadaan seperti ini seolah-olah memeriahkan komunikasi antara golongan remaja yang “miskin adab” ini sehingga terbawa-bawa apabila pulang ke rumah.

Yang Kurik Itu Kundi, Yang Merah Itu Saga..

Ads

Penggunaan kata-kata kurang sopan juga seringkali terbawa-bawa digunakan sesama adik-beradik. Sumber Foto Hiasan: Pexels

Sikap keterbukaan yang melampau akan menyebabkan mereka tidak mengenali batas komunikasi ketika bercakap dengan ibu bapa dan ahli keluarga di rumah. Ada yang sanggup menengking dan menghina sesama sendiri. Justeru, keharmonian berkeluarga akan tercalar dengan perlakuan remaja yang “miskin adab” ini.

Golongan “miskin adab” ini mudah dikenali melalui penggunaan kata-kata seperti “bodoh”, “sial” dan sebagainya ketika bergurau sesama rakan melalui media sosial.

Mereka sudah terbiasa memanggil nama rakan-rakan dengan perkataan tidak senonoh. Justeru, kita mudah mengenali pengucapan seperti itu datangnya daripada golongan remaja yang kurang peka terhadap pengguna media sosial yang lebih tua daripada mereka.

Ads

Natijahnya, mereka akan dilabel sebagai golongan “miskin adab” kerana tidak pandai menggunakan kata-kata yang sopan. Benarlah, kata-kata mencerminkan keperibadian kita sendiri.

Sudah tiba masanya masyarakat kita memperkasakan kesantunan berbahasa dalam kehidupan seharian. Jika dibiarkan budaya “miskin adab” ini menjadi kebiasaan dalam masyarakat, keadaan bakal menjadi barah yang merosakkan keharmonian komunikasi dalam masyarakat kita. Bahasa itu indah jika penuturnya juga memiliki sikap terpuji dan kaya budi bahasa.

Bahasa itu indah jika penuturnya juga memiliki sikap terpuji dan kaya budi bahasa. Hayatilah pantun Melayu ini;

Ads

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga;

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Penyiaran artikel ini merupakan hasil kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa dan PustakaArtikel ditulis oleh Faridah Mohamad Saad. 

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI