YB Nurul Izzah Respon Isu Panas Basikal oBike Bersepah Di Parlimennya…

Share

Semalam Remaja membongkar isu basikal oBike yang menggalakkan perbuatan vandalisme di kalangan remaja. Tinjauan di beberapa lokasi lokasi antaranya Universiti Malaya, Amcorp Mall, Taman Dato Haron, Taman Medan, Jalan Klang Lama, Kampung Pasir Kiri, Kampung Pasir Kanan, PPR Cempaka, Kampung Dato Tatah, PPR Blok 100, Kampung Limau, PPR Kerinchi dan Kondo Rakyat dan Pantai Hill Park mendapati, basikal ini selamba dikayuh oleh sekumpulan remaja tanpa rasa takut. Siasatan mendapati sistem alat pengesan basikal ini, GPS sudah dirosakkan dengan hanya mengetuknya dengan batu. Semudah itu sahaja. Lihat artikel berkaitan.

Bersepah basikal oBike di kawasan PPR yang dicuri

Ternyata, kawasan perumahan seperti flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang didiami oleh golongan sederhana dan ke bawah terutama di Flat PPR Kerinchi, PPR Cempaka, Blok A, Blok D dan beberapa kawasan sekitar menjadi “spot port” basikal curi ini dicuri dan disorokkan.

Susulan bongkar oleh Remaja,  YB Nurul Izzah Datuk Seri Anwar yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai memberi respon terkini apabila mengetahui basikal oBike ditemui bersepah-sepah di kawasan Parlimennya.

Yb Nurul Izzah membangkitkan isu kesenjangan ekonomi. Jenayah domestik berlaku kerana isu sara diri dan perkara yang sering dibangkitkan di Parlimen berkenaan kemelut miskin bandar.

Terkejut namun bersikap rasional, jelas Yb Nurul Izzah, dalam menangani isu remaja yang terjebak dalam perbuatan vandalisme jelasnya, mahu tidak mahu kita harus mulakan dengan usaha menyantuni golongan yang mungkin terkesan, lebih lebih lagi dengan tersergam indahnya bangunan pencakar langit komersil yang hanya mampu diimpikan tapi tidak dimiliki oleh golongan ini.

Tambahnya lagi,  agensi zakat, vokasional, kebajikan, semuanya harus berganding tangan dalam mencari penyelesaian kepada masalah pokok yang memaksa segelintir remaja sehingga mereka sampai sanggup mencuri demi untuk mendapatkan barang dihajati.

Menurut YB Nurul Izzah lagi, pembangunan infrastruktur atau kemudahan yang tidak disertakan dengan roh dan pendidikan yang secukupnya akan mengakibatkan masalah kecurian serta kerosakan berlaku yang memberi kesan kepada masyarakat.

“Sebab ini dasar kerajaan BN dan DBKL yang membenarkan oBike di Kuala Lumpur tanpa satu pendidikan dan penyeliaan yang tuntas kepada orang awam,” katanya yang bertanyakan soalan, siapa yang pertama memperkenalkan oBike dan luluskannya di Lembah Klang,”katanya yang mempersoalkan peranan Kementerian Belia yang melepaskan tangggungjawab ini dan tidak memantau sehingga akhir.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu tentang kesenjangan ekonomi yang dihadapi oleh golongan bawahan sehingga tercetus isu vandalisme di kalangan remaja.

“Jenayah domestik berlaku kerana isu sara diri dan perkara inilah yang sering saya bangkitkan di Parlimen berkenaan kemelut miskin bandar.

“Pembangunan tak terkawal, akses minimum terhadap pendidikan dan kesihatan yang juga terpaksa ditanggung oleh penduduk Kerinchi akhirnya menjurus segelintir antara mereka dalam keterlibatan jenayah.

“Kerana itu pihak berkuasa harus tegas. Tidak ada dwi-standard dalam jenayah kecurian dan rompakan. Siasatan dan dakwaan dari rakyat, sehinggalah kepada pemimpin teratas sekalipun harus dijalankan secara konsisten dan menyeluruh.

“Tindakan berprinsip ini penting dalam membudayakan penolakan terhadap rasuah. Namun harus juga diganding dengan dasar dan pelaksanaan program bantuan kebajikan yang melahirkan suasana kondusif untuk mengurangkan bebanan rakyat, termasuk peluang pekerjaan yang mencukupi.

“Hal ini tidak berlaku menerusi dasar sedia ada iaitu gaji kecil, peluang kerja dibolot kemasukan pekerja asing serta lain-lain masalah,’ katanya yang menasihati golongan remaja untuk tidak terus terjebak dengan perbuatan mencuri.

Malahan orang dewasa yang seharusnya bertindak menasihati jika melihat adanya kecurigaan di situ.

Menerusi bongkar semalam, ada beberapa penduduk di kawasan kediaman dinyatakan memaklumkan, basikal-basikal ini dibawa naik ke tingkat atas rumah dan dari situlah para remaja ini melakukan operasi “operate” basikal terutama memecahkan sistem pengesannya atau mengambil beberapa barangan yang diperlukan.

Basikal ini selamba dibawa kerana GPSnya sudah rosak selepas diketuk dengan batu sahaja

Jangan terperanjat kerana sebahagian ‘spare part’ basikal ini dipasangkan ke basikal lajak mereka tanpa perasaan bersalah atau merasa takut dengan perbuatan mencuri tersebut.Diharap ibu bapa lebih prihati dalam menasihati anak-anak jika tahu anak ada berbuat salah agar isu vandalisme ini dapat diselesaikan dengan baik!

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros