YG Entertainment Padam Adegan Uniform Jururawat Jennie Dalam MV Lovesick Girls

Share

Baru sahaja melancarkan muzik video terbaru Lovesick Girls baru-baru ini, timbul pula isu yang dibangkitkan oleh persatuan jururawat Korea Selatan mengkritik penampilan uniform jururawat yang dikatakan tidak betul dan terlalu singkat.

Salah seorang anggota Blackpink, Jennie telah memakai uniform jururawat yang agak seksi bersama kasut tinggi di dalam video tersebut mengundang rasa tidak puas hati oleh persatuan jururawat di Korea.

Mereka mendakwa topi, skirt yang pendek bersama kasut tinggi adalah imej yang sangat bertentangan dengan uniform sebenar jururawat dan menjurus ke arah imaginasi seksual yang tidak sepatutnya.

Ekoran daripada situasi itu, pihak YG Entertainment telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan mengeluarkan babak yang melibatkan pakaian jururawat kontroversi itu daripada muzik video Lovesick Girls.

“Kami memutuskan untuk memadam semua adegan yang melibatkan pakaian jururawat dalam muzik video Lovesick Girls dan akan menggantikan muzik video dengan versi yang diedit secepat mungkin,”

“Kami juga ingin meminta maaf kepada jururawat yang merasa tidak selesa dengan isu ini dan sekali lagi, kami ingin menyampaikan rasa hormat dan tulus kepada semua petugas kesihatan yang mengabdikan diri untuk kesejahteraan negara. Terima kasih,” jelas YG Entertainment.

Pihak pengurusan Blackpink juga menjelaskan bahawa mereka tidak menyangka adegan itu menjadi isu kerana tiada niat untuk mengguris hati sesiapa pun.

Sama-samalah kita nantikan muzik video Lovesick Girls yang bakal diedit nanti.

Sumber: allkpop

Published by
Noor Ain Norman