Berita

“You Touch You Go!” Datuk Asyraf Wajdi Beri Amaran Tegas Buat Pelaku Buli Di MRSM

Share

Baru-baru ini, satu perkongsian tular di media sosial sehingga membuatkan ramai warga internet meluahkan rasa tidak puas hati apabila video memaparkan kejadian buli melampau di salah sebuah institusi MRSM.

Menerusi rakaman tersebut, jelas kelihatan seorang pelajar dikerumuni dan dikasari oleh sekumpulan rakan di dalam bilik asrama.

Situasi itu bukan sahaja menyayat hati, tetapi juga mengejutkan ramai pihak, terutama sekali apabila perkara yang terjadi ini melibatkan institusi pendidikan yang sepatutnya selamat untuk para pelajar.

Kredit: Facebook Dr Asyraf Wajdi

Dalam pada itu, hal ini turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang lantang menyuarakan ketegasannya menerusi laman Facebook.

“Saya sudah minta pegawai saya siasat segera jika benar peristiwa ini berlaku di MRSM. Jika benar pelajar-pelajar ini adalah pelajar MRSM, tiada kompromi lagi, tindakan tegas pasti akan diambil,” tulisnya.

“Saya sudah mengingatkan banyak kali semenjak diberikan amanah menjaga MARA, ‘YOU TOUCH YOU GO!’ Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan ‘BULI’ dalam apa jua bentuk di MRSM,” ujarnya.

@drasyrafwajdi Saya telah menerima laporan bahawa video yang tular sejak pagi tadi disahkan berlaku di salah sebuah MRSM di utara tanah air. MARA memandang serius insiden ini. Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan buli, tidak kira siapa pelakunya. Sejak hari pertama saya diberikan amanah untuk menjaga MARA, saya sudah tegaskan: “YOU TOUCH, YOU GO!” Tiada ruang untuk pembuli. Tiada toleransi terhadap mana-mana pihak yang cuba membudayakan ‘BULI’ dalam apa jua bentuk di MRSM institusi yang sepatutnya menjadi medan melahirkan pemimpin masa hadapan negara. Kita akan pastikan tindakan tegas diambil. Buli bukan budaya kita. #YouTouchYouGo
#TiadaTempatUntukPembuli #MRSMBebasBuli ♬ original sound – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Menurutnya, MRSM bukan sekadar sekolah biasa, tetapi institusi untuk membina sahsiah, jati diri, dan masa depan anak-anak yang bakal menjadi pencorak negara.

Selain itu, ‘YOU TOUCH YOU GO!’ juga dianggap sebagai satu prinsip dan pendekatan MARA dalam membanteras budaya buli dalam institusi pendidikan mereka.

Jika terdapat sebarang elemen buli yang berlaku, ia adalah satu bentuk pengkhianatan kepada matlamat MARA yang selama ini berusaha melahirkan generasi pemimpin masa depan negara.

Sementara itu, MARA mengambil serius kejadian ini dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pelaku, tanpa mengira latar belakang atau status.

Sumber: Sinar Plus

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE