Pada tahun lalu di anugerah Emmys, Zendaya Coleman pernah mencipta sejarah apabila pelakon yang popular dengan filem seperti Euphoria, Spider Man dan Dune ini dinobatkan sebagai pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik Siri Drama termuda.
Pada usia 24 tahun, Zendaya telah mengenepikan rekod terdahulu yang dipegang oleh Jodie Comer bagi kategori yang sama pada tahun 2019. Ketika itu, Jodie hanya berusia 26 tahun.
Nampaknya pada hari ini, sekali lagi Zendaya telah mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima Fashion Icon Award termuda dalam sejarah penganjuran CFDA Fashion Awards 2021.
ARTIKEL BERKAITAN : Zendaya Bertukar Menjadi Cinderella Di Met Gala, Konsepnya Lebih ‘Deep’ Daripada Kita Sangkakan – REMAJA
Bertempat di The Grill Room New York, Zendaya hadir dengan menyarungkan gaun ala bandeau top dan skirt labuh serba merah rekaan Vera Wang serta aksesori bernilai jutaan Ringgit daripada Bvlgari. Bagi menjadikan ‘look’-nya lebih remaja, Zendaya memilih dandanan rambut braids.
Gaun ini juga hadir dengan jaket pendek ala bolero bagi memberikan lebih kehangatan kepada Zendaya apabila malam semakin dingin di sana.
Untuk pengetahuan, kategori Fashion Icon Award ini selalunya sinonim dengan selebriti dalam industri fesyen yang selalu bereksperimentasi, gemar mengambil risiko ketika memilih pakaian mereka dan berjaya tampil dengan pemilihan fesyen yang tepat hampir setiap masa. Sebelum ini, beberapa nama besar yang pernah menjadi penerima bagi kategori Fashion Icon Award ini termasuklah Jennifer Lopez (2019), Naomi Campbell (2018), Beyonce (2016), Pharell Williams (2015) dan Rihanna (2014).
Zendaya yang selayaknya dijadikan sebagai ikon fesyen dalam kalangan remaja sebaya atau yang lebih muda daripadanya juga terkenal sebagai seseorang yang tidak takut mengubah imejnya dari semasa ke semasa. Adakalanya, Zendaya akan mengenakan rambut palsu pendek. Dia juga selalu bangga untuk mengekalkan rambut ‘cornrow’ yang sinonim dengan stail wanita berketurunan kulit gelap di Amerika Syarikat.
Congrats girl!
BACA LAGI : Karpet Merah Oscars 2021 : Antara Gaya Sopan & Pamerkan ‘Abs’ – REMAJA