Zoo Negara Cari Sukarelawan Bagi Tugas Pembersihan Kandang & Beri Makanan Kepada Haiwan

Share

Saban hari kita mendengar tentang kesempitan yang dirasai oleh pihak Zoo Negara kerana mempunyai masalah kewangan bagi menyelenggara haiwan di dalam pusat simpanan tersebut.

Dianggarkan Zoo Negara memerlukan RM1 juta bagi menampung perbelanjaan termasuk makanan haiwan dan kos penyelenggaraan zoo.

Sebelum ini, Ustaz Ebit Lew telah pun turun padang bagi membantu haiwan-haiwan di Zoo Negara dengan membawa beratus kilogram daging dan bakul buah-buahan untuk diberikan kepada haiwan tersebut.

Namun kini, Zoo Negara memerlukan sukarelawan kerana pihak mereka sudah kekurangan pekerja. Hal ini telah dikongsi di laman Facebook Ukay Heights Communer

yang merupakan ‘jiran’ kepada Zoo Negara dengan meminta jasa baik penduduk sekeliling untuk turut sama turun padang menjadi sukarelawan di sana.
Foto: Ukay Heights Communer
Foto: Ukay Heights Communer

Jelas mereka lagi, pihak Zoo Negara telah melakukan sehabis baik dan mereka tidak boleh sewenangnya menjual haiwan-haiwan tersebut kepada pihak zoo lain kerana tertakluk dengan peraturan WAZA.

Sebilangan besar haiwan-haiwan tersebut diserahkan oleh pemilik swasta atau dibawa ke Zoo Negara oleh Perhilitan berikutan serbuan di zoo atau pemburuan haram yang tidak berlesen. Haiwan di sana juga tidak boleh meninggalkan negara ini kerana terikat dengan peraturan dan tiada surat rasmi.

Pihak Zoo Negara telah membina tadahan air hujan sendiri dan menanam tumbuhan seperti tebu, pisang dan lain-lain untuk diberi makan kepada haiwan.

Bagi haiwan karnivor pula, mereka tidak boleh hanya makan ayam setiap hari kerana akan mengalami kekurangan nutrient. Jadi, pihak Zoo Negara juga perlu menyediakan daging rusa dan babi hutan bagi memberi makan kepada harimau di Zoo Negara.

Foto: Edge Prop

Jika korang ingin menjadi sukarelawan di Zoo Negara untuk diberikan tugas-tugas seperti memberi makanan kepada haiwan dan membersihkan kandang haiwan, boleh hubungi terus Rescue Bencana Malaysia di talian:

• 019-3469800
• 017-2442466
• 017-8466574

Sekiranya korang seorang pencinta haiwan dan berkelapangan sepanjang tempoh PKP ini, mungkin korang boleh menyumbangkan tenaga bagi membantu kerja-kerja di Zoo Negara.

Bagi yang ingin membantu daripada segi kewangan pula, boleh terus hubungi pihak Zoo Negara untuk maklumat lanjut.

Sama-sama kita doakan agar kemelut ekonomi negara berakhir dengan segera kerana ia bukan hanya menjejaskan masyarakat, malah kehidupan haiwan-haiwan juga turut terkesan.

***

[UPDATE]: Pendaftaran sukarelawan sudah pun penuh. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yg prihatin

Sumber: (1), (2)

Published by
Noor Ain Norman