Hiburan

Zubir Khan Terima Anugerah Muhibbah – ” Kekurangan Bukanlah Halangan Selagi Kita Tidak Berhenti…”

Share

Penyanyi dan komposer yang popular dengan lagu Tamil, Zubir Khan dianugerahkan Anugerah Muhibbah bagi bulan Ogos.

ARTIKEL BERKAITAN : Bangkit Dengan Lagu Tamil! Zubir Khan Pernah Sedih Sukar Dapat Kerja Sebab Tiada Tangan

Teruja dengan pengiktirafan itu, pemuda berketurunan Pakistan-Melayu ini menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu kejutan yang menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus berkarya.

Zubir (tengah) menerima Anugerah Macrokiosk Muhibbah daripada Ketua Pegawai Eksekutif Macrokiosk Datuk Kenny Goh (kanan). – Foto BERNAMA

“Saya hilang tangan kanan pada usia empat tahun dan keadaan itu membuatkan saya selalu berfikir kekurangan yang dimiliki akan menjadi penghalang untuk berjaya. Namun, akhirnya saya sedar kekurangan itu bukanlah halangan selagi kita tidak berhenti mencuba.

“… dan saya juga tidak pernah menjangkakan lagu-lagu nyanyian saya akan menjadi tular, dan seterusnya berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia. Saya bersyukur kerana ini adalah anugerah pertama yang saya terima dan akan menjadi memori yang tidak dapat dilupakan,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah itu, di sini pada Selasa

Anugerah Muhibbah dilancarkan pada tahun lepas hasil kerjasama Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) dan penyedia platform penyelesaian perusahaan MACROKIOSK, bagi menghargai individu, kumpulan, atau organisasi yang telah menyumbang kepada semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

Pelantun lagu Oh My Khadale itu menerima anugerah berkenaan daripada Exco NPC Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif yang mewakili Presiden NPC Datuk Ahirudin Attan dan membawa pulang wang tunai RM2,000 serta sijil penghargaan.

Zubir Khan Terima Anugerah Muhibbah

Nama Zubir mula dikenali selepas menyanyikan lagu-lagu Tamil menerusi persembahan di majlis perkahwinan dan rakaman semula atau ‘cover version’ sejak 2018. Antara lagu bahasa Tamil ciptaan Zubir ialah Nenji Yenghutu, Marainthe Uyire, Soga Kathai, Per Yenne Solle dan Yennode Macha yang kesemua muzik videonya mencatat jutaan tontonan di YouTube.

“Saya juga bakal melancarkan single Deepavali Sudah Mari pada 26 Okt ini bersempena dengan sambutan Deepavali yang bakal tiba. Saya berharap dapat terus mencipta dan menyanyikan lagu-lagu baharu yang akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menghayati semangat muhibah dan hidup harmoni,” katanya yang menjadikan komposer dan penyanyi dari India, Anirudh Ravichander sebagai idola.

REMAJA : Tahniah Zubir atas kejayaan ini, moga lebih maju dan berjaya di masa akan datang!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber : hmetro

 

Published by
Nana