
Siapa sangka seorang remaja berasal dari Kelantan ini pernah dibuli ketika zaman sekolah, namun kini berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa menerusi arena bola sepak gaya bebas (freestyle football).
Pemain bola sepak gaya bebas, Zulhilmi Zuaswa (22), baru-baru ini meraih perhatian ramai apabila namanya terpilih menyertai Juventus Creator Lab, sekaligus muncul dalam dokumentari antarabangsa berjudul ‘The Journey Of The World Best Freestylers’.
Dokumentari yang diterbitkan hasil kerjasama antara Juventus Creator Lab dan World Freestyle Football Association (WFFA) itu turut menampilkan tiga lagi nama besar dalam arena tersebut iaitu Caitlyn Schrepfer, Yoanna Dallier dan Sebastian ‘Machine’ Pena.


Menerusi laporan Sinar Harian, Zulhilmi berkata beliau tidak pernah terlintas akan sampai ke tahap ini kerana sebelum ini pernah dibuli tetapi kini mampu berdiri sama tegak bersama individu hebat lain dalam bidang yang diminati.
“Saya tidak pernah menyangka kini gembira bersama rakan-rakan gaya bebas yang lain kerana suatu ketika dulu saya hanya keseorangan di sekolah dan selalu dibuli”
“Mereka (pembuli) memukul, meminta wang saya dan menarik saya ke dalam tandas,” katanya.

Dalam pada itu, Zulhilmi yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik juga berkongsi beliau mula berkecimpung dalam sukan freestyle sejak remaja dan tidak pernah berputus asa meskipun minatnya itu dipandang negatif oleh segelintir pihak.
“Pada waktu itu saya lihat gaya bebas boleh pergi jauh walaupun ada yang menganggap ia tiada hala tuju tetapi sekarang saya sudah berada di Juventus,” ujar Zulhilmi.
“Alhamdulillah berada di Juventus merupakan perkara yang sangat ‘besar’ buat diri saya kerana belum ada pemain bola sepak gaya bebas dari Asia Tenggara yang berjaya ke peringkat dunia,” jelasnya lagi.
Sementara itu, kejayaan Zulhilmi sekaligus menjadikannya antara individu terawal dari Asia Tenggara yang berjaya menempatkan diri dalam projek berprestij kendalian kelab bola sepak ternama dunia itu.
Sekadar info, dokumentari ‘The Journey Of The World Best Freestylers’ itu telah memulakan penggambaran pada 12 November tahun lalu dan kini ia boleh ditonton di platform Youtube.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.